Rabu, 22 Januari 2014
bintora
Syirik dalam alam Melayu
E-melkan IniBlogThis!Kongsi ke TwitterKongsi ke Facebook
Azimat Dan Wafaq Serta Rajah-Rajah.
Azimat adalah bahasa Arab yang ertinya kemahuan atau tekad yang sangat kuat. Mereka yang menyokong bahawa azimat serta wafaq boleh digunakan telah menyatakan bahawa azimat dan wafak adalah hasil karya lama' ahli hikmah dan dikaitkan bahawa tangkal dan jampi itu direstui oleh Rasulullah s.a.w. sendiri. Setiap amalan berkaitan disyaratkan pula agar dimulai dengan salam kepada Rasulullah, sahabat-sahabat Rasulullah, roh al-Muqaddasah, para 'Abid, Rijal Ghaib, Ashabul Kahfi, Nabi Khidir, Syeikh Ahmad bin Ali Albuni, Sayid Ahmad Haqqi Annazili dan sebagainya lagi. Mereka berkata bahawa ilmu-ilmu ini telah diajarkan oleh Syeikh Ahmad bin Ali Albuni menerusi kitab Syumusul Anwar, dan Kitab Manba'u Usulil Hikmah. Juga diajarkan oleh Risalah Mizanul Adil, juga oleh Imam Jalaludin Abdurrahman Assayuti dalam Kitab Ar Rahmatu fit Tibbi wal Hikmah, oleh Imam Ghazali dalam kitab Al-Aufaq dan juga oleh Ustaz Saayyid Muhammad Haqqi Annazili dalam kiab Khazinatul Asrar Wajalilatul Azhar. Ulama'-ulama1 ini mempunyai ilmu yang tinggi dalam agama Islam dan mereka telah menuntut dan mempelajarinya bertahun-tahun, baharulah mereka menulisnya bagi manfaat generasi kemudian.
Pada umumnya, tangkal dan azimat dihukumkan sebagai haram dan syirik. Terdapat tiga buah hadis yang menyatakan sedemikian.
Dari Umran ibn Husyain, beliau berkata "Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. melihat di lengan seorang laki-laki gelang azimat dari kuningan. Maka bersabdalah Nabi kepada orang itu: "Tanggalkanlah gelang itu, kerana ia tidak menambah kamu kecuali kelemahan, dan apabila engkau mati sedang ia masih di tanganmu, tentulah engkau tidak akan selamat selama-lamanya" Hadis Riwayat Ahmad Hakim.
Dari hadis Riwayat Bukhari pula, dari Abi Basyin, bahawa dalam satu perjalanan ia pergi bersama Rasulullah s.a.w., maka diutuskan seorang utusan, agar jangan dibiarkan kalung azimat digantung di leher unta, dan kalau ada, supaya dipotong.
Pada suatu ketika, Abdullah bin Mas'ud menjumpai isterinya memakai kalung yang ada tangkalnya, lalu kalung itu ditarik dan dipotongnya, kemudian dia berkata: "Seluruh keluarga Abdullah tidak boleh berbuat syirik kepada Allah dengan sesuatu yang tidak pernah diturunkan oleh Allah keterangannya". Setelah itu, dia berkata bahawa dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya jampi-jampian, tangkal dan guna-guna adalah syirik". Para sahabat kemudian bertanya: "Wahai Rasulullah ( Ya Aba Abdir Rahman), jampi-jampian dan tangkal telah kami mengenalinya, tetapi apakah yang disebut guna-guna itu?". Rasulullah menjawab: "laitu pekerjaan yang biasa dilakukan oleh orang-orang perempuan supaya dengan itu mereka tetap dicintai oleh suaminya". - Hadis Riwayat Ibnu Hibban dan Hakim.
Satu lagi sabda Nabi s.a.w.: "Barang siapa yang menggantungkan azimat, maka sesungguhnya ia jadi musyrik". - Hadis Riwayat Ahmad.
Guna-Guna.
Nama ini biasa di kalangan masyarakat Melayu sendiri, dan ia tergolong kepada apa yang dipanggil Ilmu Pengasih. Banyak sungguh guna-guna ini. Ada antaranya amatlah merosakkan dan jelas syiriknya seperti mengambil Minyak Dagu iaitu dengan cara membakar mayat anak dara sunti dan mengambil minyak dari dagunya. Ada antara amalan ilmu pengasih ini menggunakan pula Ayat Takluk iaitu Ayat ke 30 dan 31 dari surah 27, di mana di katakan bahawa ia bisa menakluki wanita hingga dapat datang ke ribaan dan menurut apa sahaja perintah. Orang-orang perempuan Melayu pula ada yang "mengena" suaminya agar menjadi bodoh serta sayang padanya dengan amalan yang dipanggil Nasi Cangap atau Nasi Tangas. Ada juga wanita yang memberi makanan yang kotor dari badannya untuk di makan oleh suaminya. Ada pula suami yang "menapa" darahnya selama 40 hari kemudian akan dicampurkan dengan maninya lantas dimasukkan ke dalam makanan isterinya agar isterinya kasih kepadanya.
Terdapat tangkal guna-guna yang biasa diajarkan kepada wanita oleh orang-orang tua agar suaminya tidak berkahwin lagi supaya sentiasa sayang padanya. Antaranya ialah Tangkal Kunci Air, Tangkal Lam Kunyit, Tangkal Kacip Fatimah, Tangkal Tongkat Tua, Tangkal Cermin dan sebagainya lagi dengan tujuan supaya farajnya sempit "Seperti lubang jarum" dan agar farajnya panas "Panas seperti bara tempurung" dan sentiasa seperti anak dara "Fatimah mengembalikan daraku" dan pelbagai lagi rahsianya yang dirasakan tidak perlu dicatatkan di sini. Orang lelaki pula mendapatkan guna-guna ini samada untuk isterinya atau untuk berbuat jahat dengan wanita lain. Pelbagai perkara yang pelik berlaku dan diamalkan di mana ada wanita yang mempunyai ilmu yang boleh mengalihkan lubang farajnya di sekitar badannya (contohnya diletakkan di bawah ketiaknya atau di tengkuknya) dengan tujuan menguji ilmu lelaki yang cuba menjima'nya. Di katakan bahawa lelaki yang mahu menjima’nya tidak akan berjumpa dengan lubang farajnya di tempat yang sepatutnya, dengan membaca guna-guna juga perkara itu bisa dialahkan.
Tilikan Dan Firasat
Di dalam kitab Sahih Bukhari, dari Nabi s.a.w. bahawa beliau pernah ditanya tentang tukang-tukang tilik atau dukun (tukang tenung), maka sabda Rasulullah: "Mereka itu tidak ada apa-apa". Lalu para sahabat berkata: "Ya Rasulullah, bahawa mereka itu menceritakan sesuatu terkadang menjadi benar". Maka sabda Rasulullah, hal itu adalah perkataan dari yang hak (Allah), yang disampaikan oleh seorang jin (atau syaitan) lalu ditiupkannya di dalam telinga pembantunya (iaitu para dukun) seperti tiupan (atau patukan) ayam betina, lalu mereka campurkan perkataan yang benar dengan kedustaan lebih dari seratus".
Sabda Nabi s.a.w. : "Mempelajari ilmu tenung sama hukumnya dengan mempelajari ilmu sihir, dan barang siapa yang datang kepada kahin (dukun) itu dan percaya apa yang di katakannya, dia telah ingkar kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w."
Hadis Riwayat Muslim: "Barang siapa yang datang kepada satu tukang tilik tentang sesuatu perkara, lalu ia percaya akan dia, maka tidaklah diterima solatnya empat puluh hari".
Nujum
Pada suatu hari putera Rasulullah (Ibrahim namanya) meninggal dunia, dan pada waktu itu pula ada gerhana matahari dan malamnya ada gerhana bulan. Kemudian orang ramai ribut-ribut menyatakan bahawa yang menyebabkan kematian itu adalah kerana adanya gerhana matahari dan bulan itu. Apabila Rasulullah mendengar hal itu beliau bersabda: "Sesungguhnya matahari dan bulan itu, adalah dua tanda daripada beberapa tanda (kekuasaan) Allah. Gerhana itu tidak terjadi kerana lantaran mati atau hidupnya seseorang. Kalau kamu melihat ada gerhana, hendaklah kamu berdoa kepada Allah, bertakbir, dan mendirikan solat." - Hadis Riwayat Bukhari.
Sabda Rasulullah s.a.w. " Barang siapa yang mengambil sebahagian dari ilmu nujum, maka ia telah mengambil sebahagian dari sihir." Hadis riwayat Abu Daud.
Sihir.
Hendaklah diketahui bahawa kadangkala, sihir itu menggunakan ayat-ayat Al-Quran. Inilah perkara yang paling bahaya sekali kerana amalan ini "berselindung" di belakang penggunaan ayat-ayat suci. Memang ada perkara ini di dalam masyarakat Melayu sendiri, contohnya penggunaan lafaz Allah untuk sihir, menggunakan ayat Quran untuk syarat-syarat azimat dan tangkal, berpuasa untuk ilmu tenung dan sebagainya lagi.
Antara Sihir Dan Jampi Serapah Melayu
Kata Ibnu Khaldun "Ilmu sihir dan tilik adalah suatu ilmu tentang persediaan-persediaan jiwa manusia untuk mempengaruhi alam kebendaan samada tanpa bantuan atau dengan bantuan dari langit. Yang pertama ialah sihir dan yang kedua ialah tilik."
"Penduduk Babylon dari golongan Rabbani dan Kaldani, begitu juga kaum Qibti di Mesir dan lain-lain kaum, ada mempunyai karangan-karangan dan butir-butir mengenai sihir. Kemudian di Timur lahir pula Jabir bin Haiyan, seorang ahli sihir teragung dalam Agama Islam. Dia telah menatap buku-buku mengenainya dan telah menghasilkan amalan Simia, iaitu satu dari cabang ilmu sihir yang boleh menukarkan jasmani kepada suatu bentuk lain, dan amalan ini dapat dilakukan dengan kekuatan jiwa, bukan dengan perbuatan makmal."
"Jiwa-jiwa yang mempunyai kuasa sihir ada tiga martabat. Martabat pertama ialah yang dapat mempengaruhi melalui kemahuan semata-mata tanpa bantuan. Inilah yang di katakan sihir oleh golongan failasuf. Martabat kedua ialah yang dapat mempengaruhi dengan bantuan dari mizaj, bintang-bintang, elemen-elemen alam atau angka-angka bilangan, ini dinamakan tilik iaitu yang lebih lemah mertabatnya dari yang pertama. Martabat ketiga ialah yang dapat mempengaruhi perasaan yang berkhayal dan bertindak ke atasnya dan melemparkan kepadanya berjenis-jenis khayalan dan gambaran yang mahu di berikan dan kemudian membawanya kembali kepada alam nyata, seperti membuat mereka seolah-olah ternampak taman-taman bunga, sungai-sungai dan pohon-pohon sedangkan benda-benda itu tidak ada di depan mereka. Di kalangan ahli failasuf ini dinamakan khayalan atau hallucination."
A.S. Hornby dalam Oxford Advanced Learner's Dictionary of Current English menyatakan bahawa sihir adalah "seni mengawal kejadian dengan pendakwaan penggunaan tenaga luar biasa, ia witchcraft, praktis tahayul primitif berdasarkan kepercayaan ke atas agen ghaib. Sihir hitam dilakukan dengan pertolongan syaitan dan sihir putih tanpa (?) pertolongan syaitan".
Jampi atau jampi-jampi ditakrifkan oleh John D. Gimlette dalam A Dictionary of Malay Medicine sebagai "penggunaan serapah oleh bomoh atau pawang dalam amalan sihir Melayu. Menjampi ialah untuk mengubati secara sihir, contohnya bila bomoh menghembus ke atas muka atau badan pesakit, menggunakan serapah yang sesuai, dengan idea menyembuhkannya dengan cara menghembus tersebut".
Menurut Prof. Mohd. Taib Osman dalam bukunya Malay Folk Beliefs, setengah-setengah bomoh Melayu mendakwa bahawa ilmu bomoh itu berasal dari Luqman al-Hakim, kata seorang bomoh "Kemala Hakim (Luqman al-Hakim) pada satu masa telah dihalau dari negerinya. Dia sampai di negara Raja Iskandar, di mana dia menjadi seorang tabib (bomoh) yang terkenal. Setelah beberapa lama, dia pun ghaib dim negeri tersebut dan sampai di Johor, di mana dia memakai nama Andra Tabib. Dari Johor dia pergi ke Pattani, di mana, sebagai Sheikh Tabib Ulia Tabib dia kemudiannya ghaib. Pada tempatnya muncul Tabib Empat Paku Alam, dengan gelaran Ulia Tabib Alang Naharu. Bila Tabib ini ghaib, muncul pula Seri Maharaja Tabib Paku Alam Naharu...”.
Pengaruh Hindu pula menyelubungi praktis pawang. Satu serapah pawang mendakwa "Siva adalah Mahaguru, Nur Muhammad dan Luqman al-Hakim adalah pawang silam dan aku adalah pawang keempat". Perkataan pawang yang tua biasanya dikaitkan dengan Siva, Nabi Muhammad dan kadangkala hatta Allah. Ada juga yang mengaitkan Pawang Yang Tua kepada anak Adam, ada juga yang mendakwa bahawa "empat pawang asal" adalah ciptaan Allah dari empat sahabat lembaga Adam. Ada yang menyatakan bahawa orang pertama yang menjadi pawang hidup tidak lama selepas banjir besar Noh, dia ada delapan cucu yang mempunyai nama- nama Hindu, empat dari mereka, Batara Guru, Batara Kala, Berma Sakti dan ular Saktimuna menjadi penyihir di daratan, sementara empat lagi, Sedang Berma, Sedang Buana, Bujang Juara dan Raja Laut menjadi penyihir di lautan."
Dengan kedatangan Islam, iktibar percintaan Yusuf dan Zulaikha telah digunakan bagi mencapai kesan yang serupa, dan menantu Rasulullah iaitu Saidina Ali, yang digelar Harimau Allah juga telah dikaitkan dalam praktik ilmu guna-guna, serta isteri beliau Fatimah (anakanda Rasulullah). Banyak jampian, sejak itu, menggunakan nama-nama nabi-nabi, wali-wali serta mereka yang terkenal di dalam Islam. Banyak juga nama-nama pohon disempenakan dengan nama Ali atau Fatimah atau Luqman al-Hakim seperti Tongkat Ali, Buku Ali, Janggut Ali, Akar Fatimah, atau Kacip Fatimah atau Daun Lukman al-Hakim.
Dari segi Ilmu Kelamin, ada sihir yang bertujuan memisahkan di antara suami dan isteri, dan ada yang untuk menguatkan keinginan antara satu sama lain, antara yang awal dari sihir ini adalah yang diturunkan di Babil pada zaman dahulu, ditulis dalam Bahasa Sumeria, Bahasa kuno yang ujud beberapa abad Sebelum Masehi:
"Bangunlah wahai dewi agung! Dan dengarlah aduanku! Kurniakanlah keadilan kepadaku dan ambillah perhatian terhadap keadaanku. Sesungguhnya aku menghadapmu dalam keadaan yang hina dan membentangkan kepadamu akan nasibku. Ia disebabkan oleh bencana yang ditimpakan oleh kedua-duanya ke atasku. Dan disebabkan benda-benda kotor ini yang mereka berdua gunakan. Semuga matilah tukang sihir perempuan ini dan berilah kehidupan padaku dewi! Dan semuga hancurlah tangkal azimat tukang sihir perempuan dan rosaklah sihirnya. Semoga dahan yang dipetik dari pohon Ru dapat mensucikan dirimu. Semoga dahan ini melepaskan daku, dan semoga hapuslah bau busuk mulutku di udara. Semoga aku dibersihkan oleh rumput Musytakil yang banyak memenuhi bumi..."
Setelah kedatangan Islam, masyarakat Melayu tidak suka kepada nama sihir. Dipisahkan antara nama sihir dan nama jampi atau serapah, tetapi garis yang memisahkan hakikat sihir, jampi atau serapah itu pada umumnya tidak ada. Masyarakat Melayu keberatan untuk menyatakan bahawa jampi atau serapah itu sihir. Ini mungkin kerana jampi dan serapah itu dimulakan dengan Bismillah dan juga pula berakhir dengan Syahadah. Masaalah yang timbul bukan dari segi permulaan dan akhimya itu, tetapi yang di tengah-tengah jampi atau serapah itu. Selalu kedapatan bahawa pengertian ayat yang berada di antara kedua perkara tadi tidak difahami sebab musababnya dan tidak pula diajarkan sebab musabab itu kepada muridnya.
Jika hendak diistilahkan sebagai do'a ia bukan do'a kerana jampi dan serapah itu telah ditemukan bacaannya, tidak boleh disebut dengan perkataan yang lain, jika salah sebutan perkataannya, maka jampi atau serapah itu "tidak menjadi".
Kekaburan mengenai masalah jampi serapah dan sihir ini masih lagi berterusan pada masa sekarang ini terutamanya di kawasan desa pendalaman. Kebanyakan orang Melayu (Islam) berpendapat bahawa jampi serapah itu dibolehkan kerana ia diajar oleh Nabi Sulaiman a.s., tetapi perkara ini telah jelas dinafikan oleh Allah s.w.t., di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 102 yang bermaksud:
"Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan di masa kerajaan Sulaiman, dan Sulaiman bukanlah orang yang tidak beriman, tetapi syaitan-syaitan itulah yang tidak beriman, mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat Harut dan Marut di negeri Babil dan kedua-duanya tidak mengajarkan kepada seseorang pun melainkan terlebih dahulu di katakan: Kami ini hanya membawa ujian (fitnah), sebab itu janganlah kamu menjadi orang-orang yang tidak beriman (kafir). Lalu mereka mempelajari dari keduanya apa yang akan memisahkan antara lelaki dan isterinya, dan mereka tidak dapat mendatangkan bahaya itu hanyalah dengan izin Allah, dan mereka mempelajari hal yang akan merosakkan kepada mereka bukan yang akan mendatangkan manfaat untuk mereka. Dan sesungguhnya mereka tahu betul bahawa siapa yang mengambil pelajaran itu tidak lagi mendapat bahagian di hari akhirat, dan sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka perolehi dengan menjual diri mereka kalau mereka mengetahui".
Begitulah dengan terperincinya dan jelas, asal usul sihir dinyatakan di dalam Al-Quran. Memang benar, bahawa di dalam pelajaran sihir itu ada perjanjiannya, yang berbagai rupa. Paling buruk dari segala perjanjian itu adalah memberikan jasad yang telah mati untuk didiami oleh syaitan. Amalan ini terdapat di masyarakat Melayu, dan ia juga dapat dikesan di dalam praktik setengah- setengah dari Ilmu Kelamin. Di dalam hal ini, mereka menjualkan jasad mereka apabila sahaja mereka mati, untuk dihuni oleh syaitan selama beberapa lama, mengikut perjanjian semasa ilmu tersebut dipelajari. Syaitan itu menghuni jasad yang telah mati itu untuk pelbagai tujuan.
Contoh Jampi Serapah Ilmu Kelamin.
Terdapat pelbagai jampi serapah atau mentera di dalam ilmu kelamin bangsa Melayu. Kebiasaannya ianya disertai dengan sesuatu amalan tertentu sebagai syarat semasa membacanya. Di bawah ini dicatatkan contoh-contoh jampi serapah yang diamalkan oleh masyarakat Melayu zaman dahulu. Cara melakukannya tidak dicatatkan di sini kerana dirasakan memadai untuk diketahui isi jampinya bagi penilaian dan perbandingan.
Mentera Pengasih.
"Hai pinang sepiak muri tanaman Maharaja Dewana, naik cahaya mukaku berseri-seri Si (nama) pandang mukaku terbuka hati yang berahi kepada aku Si (nama) pandang dadaku terbuka kasihan belas Si (nama) itu kepada aku. Pandang kanan terbuka kasihan belas Si (nama) itu kepada aku. Pandang kiri terbuka qabul hati dendam rindu kepada aku. Jika Si (nama) itu tiada kasih sayang cinta berahi kepada aku, derhakalah hatinya kepada aku. Sah Sidi pengajaran guru. Berkat do'a Laailahailallah Muhammad rasulullah."
Guna-guna.
"Bismillahir Rahmanir Rahiim, uratku lipat lendan tujuh, darah menggelegak di dalam kubur kena do'aku sehampir panas. Hai malaikat empat puluh empat, aku serulah engkau, aku suruhlah engkau, aku pinjamlah engkau. Suruhlah engkau pergi ambil hati (nama) itu rentak rentang bawa hantar kasih sayang kepada aku, siang dan malam tiada lupa pada aku. Lupa makan nasi lupa akan aku. Lupa air minum lupa akan aku. Lupa pakai kain lupa akan aku. Lupa sanggul rambut lupa akan aku. Lupa engkau menyusu ibumu tiada lupa akan aku. Dengan berkat do'a Lailahaillallah Muhammad rasulullah."
Sirih Pemanis Pengantin
"Bismillahir Rahmaanir Rahiim. Hei batu pahit batu mara. Berkat aku pakai sangka bunuh sangka mara. dari jauh engkau pandang aku engkau merah mata. Dari dekat engkau lembut hati sekalian ujud anggota engkau, sejuk hati engkau, engkau pandang aku seperti air telaga di bawah bukit. Dengan berkat do'a Lailahaillallah Muhammad rasulullah."
Tangas Pakaian.
"Bismillahir Rahmaaair Rahiim. Hai Ruh (nama) engkau terbang melayang dapatkan aku pulanglah. Hai Ruh kembalilah ke tempatmu yang asal, kalau engkau tidak kembali aniayalah dirimu. Hai Ruh (nama) pulanglah engkau dengan kudrat kuasa Tuhan Yang Maha Kuasa dengan berkat syafaat Nabi Muhammad dan sahabat-sahabatnya Abu Bakar, Omar, Uthman, Ali dan kebenaran kalimah Lailahaillallah Muhammad rasulullah."
Ada juga jampian yang diamalkan oleh orang perempuan Melayu, yang mana ini juga berkaitan dengan Ilmu Kelamin, dapat diperhatikan bahawa terdapat banyak perkara yang kabur di dalam isi kandungan jampian-jampian ini.
Tangkal Kunci Air.
"Semendak air dalam talam. Kun mahbot mati kuman mati kurap mati dibunuh raja Allah. Raja Muhammad. Halia tumbuh terus tumbuh di dalam rangka urat. Tumbuh ujud tumbuh, urat tumbuh. Tumbuh tujuh warna rasa. Batu belah batu bertangkup di atas gigi air. Puki belah puki bertangkup. Aku memakai Kunci Air. Berkat do'a Lailahaillallah Muhammad rasulullah."
Tangkal Lam Kunyit.
"Takah kunyit, tauladan kunyit. Karang tumbuh di kuala. Daun segertang daun keranji. Sab masuk lubang buluh. Bagai digetang bagai dikunci. Aku memakai pengasih dalam tubuh. Cekur jantan cekur betina. Tanam dalam kota. Seorang jantan seorang betina. Aku memakai do'a tujuh rasa. Banyak rasa dirasa tak sama aku seorang. Tebing tinggi tanah liat bagai kuntum bunga melor. Bagai budak baru jadi. Hangat bara tempurung sempit lubang jarum. Banyak orang bersanggul aku seorang bersapu tangan. Berkat do'a Lailahaillallah Muhammad rasulullah.11
Tangkal Urat.
"Putus urat bertemu sama urat. Putus kulit bertemu sama kulit. Hancur daging bertemu sama daging. Patah tulang bertemu sama tulang. Hei Gagak Semalan. Bukan engkau yang punya tawar. Tawar Datuk Andara Putih punya tawar. Bukan aku punya tawar. Tawar Datuk Andara punya tawar. Berkat do'a Lailahaillallah Muhammad rasulullah."
Penyeri Muka
"Masua Sukur menjadi pohon. Tajuk Malai menjadi dahan. Ya Ilahi Tuhanku. Tabul cahaya memandang mabuk dan malai. Bedak disapu Muhammad mengirai. Ku semangat Si (nama) itu. Tunduk kasih sayang memandang kepada aku. Cinta berahi semangat Si (nama) itu kepada aku. Inikan pulak engkau terlebih kasih kepada aku. Tangan yang kanan menggenggam semangat Si (nama) itu. Mabuk Si (nama) itu kepada aku. Berkat do'a Lailahaillallah Muhammad rasulullah."
Jampi Mandi
"Mandi hayat, mandi hayyun. Mandi hadrat, mandi katibin. Mandi roh, mandi qalam. Mandi badan serta nyawa. Berkat do'a Lailahaillallah Muhammad rasulullah."
Perlu diketahui bahawa semua yang ada dicatat di atas ini adalah sekadar pengetahuan. Demikian serba sedikit catatan mengenai syarat-syarat yang ada padanya sebagaimana yang diketahui oleh orang-orang Melayu yang terdahulu. Penulis menasihatkan pembaca supaya tidak perlu mengamalkan aspek-aspek mistik seperti ini.
Catatan oleh muallij pada jam 12:27 PG Labels: Aqidah
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar